Selasa, Mei 26, 2009

JURUTERA…PELUANG KERJA TERBUKA LUAS
KERJAYA jurutera penting dan besar kepada kemajuan negara. Tanpa jurutera, siapakah yang akan merancang dan mereka bentuk projek-projek seperti pengairan, jalan raya, jambatan, perlombongan, jana kuasa dan kilang?
Malah tugas mereka meliputi kajian dan pembangunan, pembinaan, penyenggaraan dan pengawalan, pengeluaran, perundingan, pengurusan serta latihan.
Apa itu kejuruteraan? Kejuruteraan secara umumnya ialah penggunaan pengetahuan sains dan matematik untuk menyelesaikan masalah-masalah praktikal.
Pengetahuan itu digabungkan dengan pengalaman yang dipraktikkan sebaik-baiknya menggunakan bahan dan sumber semula jadi.
Jurutera ialah individu yang terlatih dalam mereka, membuat dan menggunakan (menjaga) jentera atau terlatih dalam mana-mana cabang kejuruteraan seperti jurutera awam, elektrik dan kapal terbang.
Mereka perlu menitikberatkan inovasi mengenai komposisi sesuatu produk dan struktur, mengubah idea-idea baru kepada realiti, menyelesaikan masalah-masalah kemahuan dan kehendak manusia, memperbaiki kaedah-kaedah sedia ada dan merintis kaedah baru dengan menekankan pengetahuan saintifik, kebolehan dan kepandaian yang kreatif.
Pelbagai pengkhususan di bidang kejuruteraan ditawarkan oleh institusi pengajian tinggi tempatan atau luar negara.
Di antara pengkhususan itu ialah kejuruteraan awam, elektrik, elektronik dan sistem, kimia, proses, sumber asli, mekanikal, bahan, komputer, kaji terbang, pembuatan, telekomunikasi dan pertanian.
Perkembangan semasa di Malaysia mendorong permintaan yang tinggi terhadap profesion ini.
Setiap hari, pasti ada syarikat mengiklankan jawatan kosong sebagai jurutera di akhbar-akhbar tempatan.
Walaupun kerjaya ini mencabar, ia mampu memberi kepuasan kepada mereka. Tambahan pula gaji dan imbuhannya lumayan sekali gus mampu menarik minat pelajar untuk menceburi kerjaya ini.

Ciri-ciri peribadi yang diperlukan
1. Meminati profesion ini
Mempunyai pengetahuan di bidang sains, matematik dan bahasa
Mempunyai kemahiran komputer
<>
Tekun dan bekerja keras
Mempunyai keinginan untuk berjaya
Seorang yang dinamik
Dapat bekerja secara berkumpulan
Syarat menceburi bidang ini
Calon harus memiliki ijazah mana-mana bidang kejuruteraan dari universiti tempatan atau luar negara.
Lulusan kejuruteraan perlu menjadi ahli Institute of Engineers Malaysiasebelum boleh mendaftar dengan Board of Engineers Malaysia.
Mereka memerlukan tiga tahun pengalaman pekerjaan yang diiktiraf di dalam bidang-bidang berkaitan sebelum layak ditemuduga bagi mendapat tauliah jurutera profesional.
Tempat melanjutkan pengajian
Universiti yang menawarkan kursus di peringkat ijazah sarjana muda ialah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaya (UM), UKM, Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia(UTHM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaysia Perlis(UniMAP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UteM).
UTM, UiTM, UMP, UniMAP, UteM,UTHM dan politeknik Kementerian Pendidikan menawarkan kursus di peringkat diploma.
Universiti-universiti luar negara seperti di Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Kanada, New Zealand dan Singapura turut menawarkan kursus ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan